Adsense

Selasa, 15 Disember 2015

Tasik Bukit Merah - Giant Snakehead On Spinnerbait


Tasik Bukit Merah atau lebih dikenali dengan nama Kolam Bukit Merah oleh penduduk tempatan terkenal dengan spesis kepala ular sejak dari dahulu lagi. Spesis ini semakin hari semakin terancam populasinya berikutan aktiviti pukat dan rawai oleh penduduk tempatan yang mencari rezeki dengan menjadi nelayan di tasik ini. Menjadi nelayan dengan mencari rezeki yang halal hasil dari aktiviti mencari sumber akuatik untuk dijual tidak salah tetapi saya melihat terdapat segelintir penduduk tempatan yang kurang disiplin dalam menjalankan aktiviti ini. Terdapat pukat-pukat rosak yang ditinggalkan begitu sahaja dan ini mengundang risiko kepada sebahagian spesis marin di kawasan ini.  Selain dari sikap sambil lewa seperti ini, aktiviti mengeluarkan pokok bakung juga dilihat boleh menyumbang kepada gangguan pembiakan spesis marin disekitar tasik ini. Pokok Bakung dikeluarkan dengan alasan mengganggu kawasan tadahan air di tasik ini.

Saya macam biasa, sekiranya ada kelapangan masa, tasik ini akan dikunjungi bagi aktiviti mengilat ikan toman. Daya juang toman di sini cukup kuat berikutan habitatnya yang mempunyai samai, pokok-pokok mati, dan lapisan lumut yang tebal memang cukup mencabar keupayaan kaki-kaki pancing.


14 Disember 2015, cuti yang diumumkan Kerajaan Negeri Selangor berikutan kejayaan Pasukan Bola Sepak Selangor digunakan sepenuhnya untuk aktiviti memancing. Sepatutnya saya telah bergerak balik ke Shah Alam pada hari tersebut. Memandangkan cuti diumumkan dan keputusan untuk turun semula ke Tasik Bukit Merah dibuat memandangkan pada 12 Disember 2015 lepas, teruk dibuli oleh mama toman di tasik ini. Mama toman berjaya meloloskan diri walaupun kelengkapan yang digunakan pada waktu itu sudah dikira cukup kasar. Pada kali ini, saya turun seawal jam 7 pagi.

Sememangnya pada kali ini turun ke tasik untuk mencuba "spinner bait" bagi spesis toman disini. Lebih kepada hendak belajar menggunakan "spinner bait" ke atas ikan toman di sini. 2 hari sebelum gagal mendaratkan berikutan "spinner bait" yang digunakan dibawa lari si kepala ular. Leader terpotong solid!. Bagi trip kali ini, 2 ekor mama toman berjaya dijinakkan dengan menggunakan "spinner bait" dan tiada toman bujang yang berjaya dipujuk dengan "spinner bait"

Sebelum ke lokasi yang menjadi target pada trip kali ini, saya bergerak menuju ke spot sebarau pada awal pagi. Sebarau dicari tetapi si bujang toman juvenil yang menyambar. Kami berada disini sekitar satu jam sahaja dan terus bergerak ke spot yang lebih "heavy" bagi menguji "spinner bait" hasil tangan Din Labatta.

Di spot ini, kelibat toman bersaiz 1 ke 2 kilo sememangnya banyak dan gemar mengambir gewang selaman sekitar 1 ke 2 kaki. Kadang-kadang sudi menyambar gewang permukaan. Ketika musim kemarau spot ini sangat frenzy dengan toman yang pelbagai saiz tetapi nak masuk ke spot ini sangat sukar berikutan kawasan ini akan menjadi sangat cetek dan bot tidak boleh masuk dengan bantuan enjin dan hanya boleh masuk dengan menggunakan galah sebagai enjin berkuasa kudrat.
Setelah selesai di spot sebarau tadi, kami terus bergerak ke salah satu "heavy cover sport" yang terdapat disini. Spot seperti gambar disebelah ini tidak terlalu "heavy", masih terdapat spot yang lebih "heavy" disini. Rod berkekuatan 12-25 saya gunakan dan ada kalanya sehingga PE5 digunakan bergantung kepada spot yang dipilih. 



Gambar di atas adalah "Spinner Bait" yang dihasilkan oleh Din Labatta. Anggaran berat umpan tiruan ini antara 20-22 gram dan amat mudah dilontar dan balingan jarak jauh yang tepat mampu dibuat berikutan sifatnya yang "potong angin" dan mempunya berat ideal untuk lontaran jauh. 

"Spinner bait" ini juga cukup seimbang ketika tenggelam yang mana bahagian blade sebelah atas akan sentiasa berada diatas ketika tenggelam dan kilauan yang terhasil mempengaruhi ikan untuk memeriksa dan mengambil ketika ia tenggelam. Berat sinker yang sempurna juga mempengaruhi proses ia tenggelam dan juga turut membantu blade memusing dengan sempurna tanpa gangguan. Ketika karauan juga kedua-dua blade memusing dengan tanpa gangguan.

Spinner Bait ini boleh dikira antara spinner bait terbaik dengan harga mampu milik disamping dawai yang digunakan adalah dawai yang baik (tidak terjejas walaupun dibaham mama toman di kawasan yang dipenuhi dengan samai dan kayu). Skirt yang digunakan juga lebih lembut dari kebiasaan yang saya gunakan.

HASIL PERTAMA
Hasil pertama saya, mama toman yang terpedaya dengan spinner bait. Untuk mama ini, tidak banyak masa yang diperlukan. Hanya satu lontaran sahaja telah berjaya memujuk mama toman ini mengambil spinner yang dihantar tepat ke arah kumpulan anak-anaknya. Secara teknikalnya, spinner ini diambil selepas satu henjutan kecil dibuat ketika spinner ini sedang tenggelam. Saiz mama ini tidak besar mana tetapi daya juang dicelahan rumput tebal memang cukup inzal. Bacaan timbangan hanya 8.5 lb + - sahaja.

HASIL KEDUA
Mama toman kedua berjaya dinaikkan. Lokasi berhampiran dengan mama toman yang pertama didaratkan  iaitu sekitar radius 200 meter dari lokasi pertama.  Mama toman pertama ini sedikit sukar berikutan kumpulan anak-anak berada dalam kawasan yang lumut sangat tebal dan rapat-rapat. Saya terpaksa menunggu lebih lama sehingga kumpulan anak-anak toman ini timbul di kawasan yang sedikit kosong bagi memberi ruang spinner bait yang digunakan dapat jatuh ke dasar tanpa sangkut dan mungkin memberi kejutan kepada si mama. Bagi mama kedua ini, spinner bait yang digunakan diambil ketika balingan tepat ke kawanan anak-anak dan karauan secara perlahan dibuat. Ketika karauan secara perlahan itulah mama toman ini mengambil spinner bait dan mata kail bersaiz 5/0 tertusuk rapat dari bawah mulut ikan (dari luar). Mungkin spinner bait digigit pada bahagian blade dan sentapan yang dibuat menyebabkan matakail tertusuk dari bawah mulut toman ini. Memujuk mama toman dengan menggunakan spinner bait sememangnya cukup seronok berikutan cara mama toman mengambil spinner tersebut sedikit berlainan dengan menggunakan hard lure. Seterusnya nanti akan dicuba pula memikat toman bujang menggunakan spinner bait... In syaa Allah...

Sekian dahulu untuk kali ini...
Terima kasih...
Terima kasih atas sokongan anda:
Wanx Ismail @ Fishing XPDC©

Tiada ulasan:

Catat Ulasan