Adsense

Selasa, 3 Mei 2016

Port Dickson Slow Jigging 2016 - Belukang 33 VS Gerepoh Port Dickson

BELUKANG 33, salah satu dari perkhidmatan bot sewa bagi tujuan memancing di sekitar perairan Port Dickson, Negeri Sembilan.  Bot ini antara perkhidmatan bot pancing yang masih baharu tetapi jangan disangka orang baru tidak cukup berbisa. Bisanya sama naik dengan pengusaha-pengusaha bot memancing yang lain. Kalau tidak percaya anda boleh mencubanya nanti. Antara kelengkapan dan kelebihan yang terdapat pada Belukang 33 adalah seperti kemudahan elektrik untuk reel elektrik, toilet, radio FM, VHF Radio, Radar Detector, Rod holder, dan lain-lain kelengkapan asas. Disebelah kanan, gambar Ihsan dari Tekong Areen.

Tekong bagi Belukang 33 adalah Mohd Azreen atau lebih dikenali dengan Tekong Areen. (Disebelah kiri adalah gambar Ihsan dari Tekong Areen) Orangnya cukup simple, senang masuk kepala, dan sangat-sangat membantu. Bot ini dipakir di Jeti Admiral Cove Marina yang mana kenderaan pemancing akan diletakkan dalam bangunan marina cove berhadapan dengan jeti, sejuk dan cukup selamat.

Bagi trip ini, aku dan beberapa orang rakan lain iaitu Cikgu Badek, Ralf, Abg Lan, Faizal Ali, Jawe, dan Abg Ali.  Pada awalnya trip ini hendak dibatalkan berikutan info cuaca mengatakan bahawa arus pada hari ini terlalu laju. Aku dan Jawe nekad untuk turun juga walaupun arus dijangka laju dan sangat menaruh harapan agar tiada tiupan angin yang kuat.  Sekiranya tiupan angin kuat, susahla untuk kami mengetuk dasar laut PD. Untuk perairan PD ketika arus laju, Jig 200 gram hanya sempat mengetuk dasar 5 ke 6 kali sahaja sebelum hanyut dan sekiranya angin kuat  akan menyukarkan kami meneruskan aktiviti jigging. Trip ini sebenarnya lebih kepada trip “gathering” bagi meraikan Jawe yang akan berkhidmat di Saudi selama 3 tahun.


Pagi itu, tepat jam 8.30 pagi, kami mula meninggalkan jeti. Gambar disebelah dirakam ketika bot meninggalkan Jeti. Cikgu Badek membuat ikatan perambut sambil membaca doa.
Makanan tengahari telah siap disediakan dan segala kelangkapan mula dipasang ketika bot bergerak menuju ke spot pertama.  Bagi aku, ini seperti trip laut pertama kerana kali terakhir aku turun ke laut adalah pada tahun 2012 bersama rakan-rakan menduga layaran Rompin.  Sampai sahaja di spot pertama, aku telah berjaya memberi sedekah kepada karangan dasar berupa jig seberat 220 gram. Putih mata kejap beb!!

Strike pertama dari group kami pada kali ini adalah oleh Faizal Ali yang mana beliau telah Berjaya menjinakkan seekor ikan yu anggaran 2 – 3 kilo. Ikan yu tersebut lucut di tepi bot. “xpe.. dah bleh senyum… ikan sudah gigit jig aku..” kata Faizal Ali menaikkan semangat kawan-kawan yang lain.
Selepas itu, giliran Cikgu Badek.  Beliau Berjaya menaikkan seekor ikan talang.  Kalau Cikgu Badek dapat ikan… yang lain siapla.. panas telinga la.. haha.  Dah nama pun cikgu kan, mesti la power. Selepas Berjaya menaikkan talang, Cikgu Badek sekali lagi menjinakkan seekor kerapu. Memang sungguh hanyir cikgu ini. 

Sehanyir-hanyir beliau, sampai sekarang saya belum tahu kenapa beliau dipanggil Badek.
Banyak spot-spot berlurah dan berbukit di dasar perairan Port Dickson berdasarkan monitor pada sonar.  Memang indah ciptaanNya.  Dicelahan lurah tersebut ada “inzal” untuk pemancing seperti kita semua. 
Seterusnya, Jawe pula Berjaya menaikkan seekor Kerapu. Bertambah berbulu kami yang belum diragut penghuni dasar.  Aku hanya Berjaya mendapat satu sambaran tetapi lucut selepas beberapa karauan. Tekanan juga masa tu tapi apa nak buat belum ada rezeki.

Pembantu tekong, En. Syafik sahaja telah  berjaya menjinakkan 2 ekor ebek yang bersaiz mantap dan aku dan beberapa rakan lain masih lagi setia mengetuk dasar dengan harapan ada sambaran kasar dari penghuni dasar.

Ketika bot berhenti untuk makan tengahari, dan beberapa orang rakan-rakan lain yang telah berjaya menaikkan ikan menjamah makanan tengahari, kami terus menghulurkan jig ke dasar. Tidak disangka-sangka, bot berhenti tepat pada kawanan GT.  Pertama sekali jig aku direntap kasar dan diikuti oleh jig Faizal Ali, dan seterusnya jig Jawe.  Bersimpang-simpang main line kami ke kiri dan ke kanan.  Sentapan rakus si GT telah berjaya menanggalkan split ring dari jig Faizal Ali.  GT pertama aku untuk tahun ini seberat 14LB Berjaya dinaikkan selepas 20 minit pertarungan dan GT kedua oleh Jawe yang berat jangkaan sekitar 20kg + - dinaikkan seleas 40 minit bertarung.  Memang cukup besar bagi GT di Port Dickson ini.  Bot hanyut sejauh 2.5 knot dari spot asal. Ketika pertarungan dengan Sang GT, cikgu badek menjadi penghibur dengan nyanyian beliau… “pulangkan…. Pulangkan… pulangkan wang kami… pulangkan…. Pulangkan… pulangkan wang kami…” menyanyi Cikgu Badek sambal ketawa sebab pertarungan lama menyebabkan rakan-rakan lain tidak boleh menurunkan jig masing-masing. Sikap rakan-rakan lain yang “sporting” dan memberi peluang rakan-rakan melayan ikan sangat saya puji.

Selepas bergasak GT, tiada lagi sentapan dari dasar berikutan angin mula bertiup kuat dan arus laut juga semakin laju. Beberapa rakan-rakan sudah mula mengeluarkan Apollo bagi mencari ikan serombong yang cukup top di sini dengan rasa isinya yang manis.  Kami bergerak balik ke Jeti pada jam 6 petang dan membersihkan diri di Admiral Marina Cove sebelum bergerak balik ke destinasi masing-masing dan masing-masing memasang hajat untuk kembali lagi dalam masa terdekat. In Syaa Allah.


Aku (Wanx Ismail) dengan hasil jigging pertama tahun ini. GT seberat 7 kilogram. Posing sambil menunggu Jawe menaikkan GT anak kerbau PD.


Aksi "screen Shoot" dari rod Spartans Monsters Hunter PE2 dari video yang dirakam oleh En Ralf.

Jawe bergambar kenangan bersama GT anak kerbau PD bersama dengan Wanx. Tripple strike di satu lubuk dan dua ekor Berjaya didaratkan. Faizal cukup "ong" kata orang Cina. Semua spesis yang beliau naikkan.. semua besar dari orang lain. Rezeki sebelum ke Saudi.
Wanx Ismail dan Ebek pinjam hasil pancingan Mr. Nedd, pembantu tekong yang hensem dan bergaya. Sengaja aku pakai buff supaya terlindung memek muka "hati panas" sebab belum dapat strike... ekekekekkeke.


Gambar Solo Jawe dan GT anak kerbau PD sebelum berangkat ke Arab Saudi. Tak sangka kami PD ada GT sebesar ni. "Terkesima saya" kata Cikgu Badek.

En. Nedd, pembantu tekong dan hasil pancingannya. Ebek der… dia sorang jer yang dapat ebek. Katanya trip ni tertinggal buntat. Bawak buntat ebek jer… haha

Cikgu Badek dan Kerapunya. Strike bersama-sama dengan En. Nedd. 2 spesis 1 lubuk. Abaikan entiti di tengah-tengah.


Cikgu badek senyum sampai telinga… yang lain bernanah mata.

Tekong Areen yang hensem lagi bergaya. Gambar hasil rampasan dari Joran En. Nedd.

Bergambar kenangan bersama-sama hasil tangkapan di Jeti.

 Gambar keseluruhan pose hasil tangkapan yang berjaya dirakam.

Pemandangan mendamaikan di sekitar Jeti Marina Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dapatkan Majalah Umpan Volume 41 - Mei 2016 bagi laporan penuh keseluruhan trip kali ini di muka surat 58 melalui artikel "Asyiknya Gerepoh Port Dickson.

Sekian dahulu untuk kali ini...
Terima kasih...
Terima kasih atas sokongan anda:
Wanx Ismail @ Fishing XPDC©